KL Sentral, 19 Mei – Satu program diskusi “Meneroka Makna Filem” dari sudut pembikin bersama pengarah tersohor tanah air iaitu saudara Bade Hj. Azmi anjuran Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dengan kerjasama FINAS telah diadakan di Cinematheque, Content Malaysia Pitching Centre. Program apresiasi dan diskusi filem bersama pembikin ini adalah inisiatif bersama FDAM dengan kerjasama strategik FINAS di dalam memperkasakan aspek pembangunan dan integrasi ilmu melalui perkongsian dan rujukan karyawan-karyawan filem tanahair.
Filem berkonsepkan kenegaraan ‘Kanang Anak Langkau’ arahan Bade Hj Azmi terbitan Tangan Seni dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia dan FINAS yang memenangi Anugerah Khas di ASEAN International Film Festival & Awards 2017 (AIFFA2017) ini telah diapresiasikan di dalam program yang dihadiri para karyawan, pelajar dan pencinta filem. Diskusi interaktif dua hala ini telah meneroka falsafah, aspirasi, cabaran, proses pembikinan dan kritikan di dalam filem mengenai perjuangan Mendiang Datuk Kanak Anak Langkau ini mempertahankan kedaulatan tanahair. Setiap pandangan, kritikan dan pertanyaan telah diperbincangkan melalui spektrum “intellectual discussion” bagi membina jaringan ilmu dan kefahaman di dalam sesebuah filem.
Bade Hj Azmi yang diangkat sebagai Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke 16 melalui filem KL Menjerit selain karya-karya seperti Berlari Ke Langit, Maut, Syaitan, Castello, Gangster dan Isyarat Cinta juga turut berkongsi pengalaman beliau melebihi 30 tahun di dalam industri filem sebagai jurukamera, pengarah fotografi, penyunting, penulis skrip, pengarah dan penerbit yang disegani sebagai sebuah perjalanan dan kembara ilmu yang penuh cabaran dan mengujakan yang mampu dijadikan panduan buat karyawan generasi baharu.