Dua filem tempatan pecah panggung di Malaysia pada tahun 2017 iaitu ‘Abang Long Fadil 2’ dengan kutipan tertinggi sebanyak RM18.15 juta arahan Syafiq Yusof serta ‘Tombiruo: Penunggu Rimba’ arahan Seth Larney yang diadaptasi daripada novel thriller terlaris karya Ramlee Awang Murshid dengan kutipan sebanyak RM8 juta turut menjadi pilihan penganjur sebagai ‘Official Selection- Korean Premiere’ di 22nd Bucheon International Fantastic Film Festival (BiFan) yang berlangsung dari 12-22 Julai 2018 di Bucheon, Korea Selatan.
Diiktiraf sebagai platform jaringan perkongsian dan pemameran sinema global bagi filem-filem mewakili genre yang pelbagai dengan seleksi 290 buah filem dari 53 buah negara seluruh dunia, filem Abang Long Fadil 2 terbitan Skop Productions & Astro Shaw yang terpilih di bawah kategori ‘Best of Asia’ bersama filem negara Asia lain seperti Pengabdi Setan (Indonesia), Bad Genius (Thailand) dan Along With The Gods: The Two Worlds (Korea Selatan) telah ditayangkan pada 14 Julai yang lalu manakala ‘Tombiruo: Penunggu Rimba’ terbitan Astro Shaw, Ideate Media, Grup Buku Karangkraf dan Layar Sunan ditayangkan untuk tiga slot di bawah kategori ‘World Fantastic Blue’ bersama-sama 36 filem lain dari seluruh dunia.