Filem tempatan bergenre seram thriller, ‘Dukun’ arahan Dain Said yang telah mencipta fenomena tersendiri dengan kutipan pecah panggung melebihi RM10juta tahun ini selepas 12 tahun tersimpan berjaya menarik perhatian penganjur festival filem dunia apabila terpilih sebagai ‘Official Selection’ mewakili Malaysia di 51st Sitges International Fantastic Film Festival yang berlangsung dari 5-14 Oktober 2018 di Catalona, Sepanyol nanti. Festival filem berpengaruh berusia 50 tahun yang merupakan jendela kepada jaringan sinema dunia khususnya genre seram dan fantasi selain platform penerokaaan pasaran filem yang diiktiraf International Federation of Film Producers Association (IFFPA) sebelum ini telah diwakili Villa Nabila (SyafiqYusof/2015) dan Interchange (Dain Said/2016).
Terpilih bersama 16 karya dari seluruh dunia di bawah kategori ‘Panorama Fantastic’ yang menjulang filem-filem di bawah genre seram atapun fantasi dengan impak pembikinan berkualiti dan sinematik, ‘Dukun’ terbitan Astro Shaw yang dibintangi Datin Seri Umie Aida, Adlin Aman Ramli, Namron, Faizal Hussein, Bront Palarae, Nadiya Nisaa, Mislina Mustafa, Soffi Jikan, Hasnul Rahmat, Elyana dan ramai lagi ini terdahulunya telah menembusi 17th New York Asian Film Festival (NYAFF) tahun ini bersama 58 buah filem yang mewakili seleksi sinema Asia dan turut diumumkan sebagai ‘Official Selection’ di Five Flavours Asian Film Festival, Warsaw, Poland pada bulan November ini