idham
BARU empat hari ditayangkan, filem animasi Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal sudah menjadi mangsa rakaman haram segelintir penonton tidak bertanggung jawab.

Perkara ini didedahkan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Ahmad Idham Nadzri, hari ini.

“Penerbit filem itu, Burhanuddin mengadu beberapa penonton bertindak merakam visual lebih empat minit menggunakan telefon bimbit dan memuat naiknya di laman sosial.

“Bagaimanapun, Finas melalui sebuah pasukan khas yang dibentuk untuk mengekang aktiviti seperti ini berjaya ‘menarik keluar’ rakaman itu daripada terus tular,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Idham memohon semua pihak terutama pemamer dan pengurusan pawagam supaya sentiasa memantau aktiviti berkaitan dengan meningkatkan tahap pengawasan di dalam dewan tayangan.

Menurut beliau, sekiranya pemamer tidak mempunyai kapasiti untuk berbuat demikian, mereka boleh saja bekerjasama dengan Finas untuk mencari mekanisma sesuai.

Sejak dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham berkata, usaha membanteras rakaman dan muat naik karya secara haram ke platform yang salah di sisi undang-undang menjadi salah satu keutamaannya.

“Sekiranya pengguna sendiri ternampak aktiviti berkaitan di dalam pawagam, jangan takut untuk terus melaporkannya kepada pihak pengurusan pawagam untuk tindakan selanjutnya.

“Saya memandang serius perkara ini untuk membantu penerbit tempatan yang terpaksa berdepan dengan isu-isu seperti ini,” katanya.

Beliau juga tidak teragak-agak menggunakan kapasitinya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Finas untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang terbabit dalam aktiviti berkaitan.

Filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal menelan belanja RM20 juta dan mengambil masa lima tahun untuk disiapkan dengan 100 peratus kepakaran anak tempatan.

Filem terbitan Les’ Copaque itu mula ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 21 Mac lalu dan bakal ditayangkan di pawagam seluruh Indonesia selain Taiwan, China dan Jepun tidak lama lagi.

sumber dari : Amirul Haswendy Ashari.
haswendy@hmetro.com.my