Kuala Lumpur, 9 Januari – Di dalam inisiatif pemerkasaan sinergi industri melalui sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, Ketua Pengarah FINAS, Dato’ Fauzi Ayob dan pengurusan tertinggi terus menjana perhubungan komunikasi dua hala bersama para penggiat industri pada tahun 2018 ini melalui pertemuan bersama presiden persatuan-persatuan perfileman yang berlangsung di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur.
FINAS mengucapkan syabas dan tahniah di atas inisiatif, usaha, pencapaian dan kejayaan pihak persatuan sepanjang tahun 2017 dan kami tentunya menyokong penuh perancangan berterusan pada tahun 2018 ini di dalam strategi pembangunan industri yang holistik” ujar Ketua Pengarah sambil menggariskan dukungan Kerajaan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui manifestasi kerjasama strategik FINAS bersama pihak persatuan melalui komponen pembangunan kemahiran, latihan, sinergi ilmu, jaringan industri, dasar dan polisi, pentadbiran serta fasiliti yang dapat memberi manfaat kepada para penggiat industri.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan FINAS, Tuan Hj Mohd Zulkifli Ab Wahab, Timbalan Ketua Pengarah Produksi dan Teknikal FINAS serta presiden dan wakil persatuan perfileman tanah air seperti Persatuan Penerbit Filem (PFM), Persatuan Karyawan (KARYAWAN), Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Creative Content Industry Guild (CCIG), Persatuan Penerbit dan Televisyen Malaysia (PTVM), Yayasan Artis Veteren Malaysia (YAVM), Persatuan Kebajikan Artis Veteren Malaysia (PKAVM) dan Pertubuhan Kebajikan Artis-Artis Pelapis (PERKAP).