Oleh : Ahmad Syazli Muhd Khiar
syazli@finas.my

‘Seni itu satu tanda hormat, wajib dihormati dan disayangi’-Johan Ibrahim

Johan Ariffin Ibrahim dan dunia sinematografi adalah ibarat nyawa dan badan yang tidak dapat dipisahkan. Kemampuanya menterjemah dan mencipta visual sinematik yang berkesan melalui aspirasi dan visi pengarah bagi filem-filem dari hujung tahun 70an sehingga tahun 2005 seperti Menanti Hari Esok, Esok Untuk Siapa Dia Ibuku Ranjau Sepanjang Jalan, Dia Ibuku, Jejak Bertapak, Detik 12 Malam, Esok Untuk Siapa, Langit Petang, Dendam Dari Pusara, Jasmin, Jasmin II, Puteri, Yassin, Anak Sarawak, Memori, Syahadat, Raja Melewar, Kemarau Cinta dan banyak lagi ini pastinya membanggakan. Tempoh lebih 50 tahun jasa, perjuangan dan dedikasi beliau di dalam dunia seni terus memahatkan nama karyawan ini sebagai ‘the genius visual storyteller’. Sesungguhnya, pengiktirafan diterimanya sebagai penerima Anugerah Penggiat Belakang Tabir di Festival Filem Malaysia ke 29 (FFM-29) adalah sangat tepat melihatkan jasa dan sumbangan beliau sebagai anak seni berprofil cemerlang di belakang tabir yang juga merupakan alumni FFM sebagai Sinematografer Terbaik FFM-2 untuk filem Dia Ibuku dan FFM-4 untuk filem Ranjau Sepanjang Jalan. Berjuang sebagai legasi anak-anak ‘Ibrahim’ bersama adik beradiknya yang lain di dalam industri termasuklah penyunting lagenda, Johari Ibrahim, Mariam Ibrahim (penyunting), Zain Rashid Ibrahim (tenaga produksi-pencahayaan), Johar Ibrahim (penyunting), dan Azlan Suhaimi Ibrahim (tenaga produksi-focus puller), magis sinematografi yang dibina Johan Ibrahim di dalam filem-filemnya melangkaui imej dan visual, ia adalah kembara ‘rasa’ dan ‘jiwa’ dari seorang pencerita.

Studio Filem, Guru dan Gelanggang Ilmu

Biarpun tanpa pendidikan formal di dalam bidang seni, studio perfileman adalah gelanggang ilmu bagi Johan Ibrahim kerana arwah bapanya, Ibrahim Ali, adalah merupakan anak Melayu yang berkhidmat sebagai penolong pengarah, penterjemah skrip, guru bahasa dan seni lakon serta penulis dari tahun 1949-1954 yang diburu Malay Film Productions dan Cathay Keris kerana daya intelektual dan kompetensi Bahasa Inggerisnya. Justeru, membesar dengan disiplin seni yang tinggi digunakan sepenuhnya oleh Johan apabila diterima bekerja di Studio Merdeka, Kuala Lumpur sebagai pembantu bahagian penataan suara pada awal tahun 60an. Berpeluang bekerja di bawah pengarah-pengarah hebat seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ketika itu untuk filem-filem seperti ‘Anak Bapak, ‘Kanchan Tirana’, “Enam Jahanam’ serta Allahyarham Tan Sri Jins Shamsudin, angkatan pengarah baru untuk filem arahannya ‘Bukan Salah Ibu Mengandong” dan “Di Belakang Tabir” membentuk ketajaman deria “rasa” beliau pada kepentingan menyampaikan maksud penceritaan itu oleh semua bahagian di dalam sesebuah produksi. Kegemaran Johan kepada seni visual kemudiannya berjaya diperkasakan apabila berhijrah di Gaya Lab milik Tan Sri L.Krishnan pada tahun 70an apabila menjadi jurukamera filem-filem dokumentari yang mana memberi peluang untuk beliau mencuba nasib di industri filem cereka.

The Visual Storyteller

Johan Ibrahim yang mula diberi kepercayaan daripada Jins Shamsudin sebagai sinematografer untuk filem Menanti Hari Esok (1977) mula serius mengorak langkah dengan barisan filem-filem hebat yang lain selepas itu. Melihat kepada naskhah-naskhah filem yang diterjemah beliau sebagai sinematografer, filem-filem ini membawa tema dan suara kesakitan, kekacauan, konflik dan kemanusiaan dan tanggungjawab Johan mengemudi dimensi-dimensi ‘realism’ namun yang mustahak, sinematografer ‘wajib’ merasai kesakitan itu. Bagi Johan, visual naratif jujur ketika pembikinan filem dokumentari juga harus sama dengan filem cereka kerana imej dan visual yang ditonton dirasai kejujurannya oleh penonton. Untuk itu, Johan akan sentiasa bereksperimen mencari yang terbaik bagi menghasilkan kesan sinematik maksimum sehingga hampir berdepan dengan maut.

Justeru, naskhah “heavy” seperti Dia Ibuku, Ranjau Sepanjang Jalan, Dendam Dari Pusara, Esok Untuk Siapa dan Langit Petang sebagai contoh memerlukan kajian mendalam oleh Johan dari aspek estetika, mood, pergerakan, komposisi, ratio, warna, cahaya, shot dan turut mengkaji mise en scene yang telah ditentukan pengarah. Seperti mana arwah ayahnya, biarpun kurang berbicara, Johan Ibrahim tinggi nilai kesusasteraanya apabila bijak menggunakan lanskap luas dan terbuka dengan bahasa alam sebagai metafora visual kepada sifat-sifat abstrak seperti harapan dan ruang sempit dan sesak menggambarkan penderitaan dan kematian sebagai contoh filem yang diadaptasi dari karya sasterawan seperti Ranjau Sepanjang Jalan arahan Allahyarham Datuk Jamil Sulong (Shahnon Ahmad) dan Langit Petang (A.Samad Said) arahan Shahrom Mohd Dom. Impaknya, filem-filem ini mampu menembusi festival filem antarabangsa di antaranya Hawaii International Film Festival, Asia Pacific Film Festival, Tokyo International Film Festival dan banyak lagi kerana dibantu kecemerlangan teknik sinematografi Johan Ibrahim yang menjadi ‘narrator’ dan pencerita kepada penonton luar sehinggakan filem-filem ini diraikan kerana isunya bersifat universal dan sejagat.

Emosi-emosi yang ditonjolkan tidak hanya pada ekspresi pelakon tetapi kepada ‘magical instrument’ yang divisualkan Johan melalui bahasa alam yang menjadi gelanggang permainanya. Dari aspek komunikasi visual, ‘symbolic interactionism’ menjadi signature jenama sinematografi Johan Ibrahim kerana percaya, penonton perlu bersama-sama berkomunikasi mencari ‘rasa’ dan ‘jiwa’ itu. Cuba ditanya generasi yang pernah berpeluang menonton Ranjau Sepanjang Jalan atau Jasmin, pastinya mereka mampu mengingati visual-visual penting kerana impak penontonan ‘aktif’ yang wujud ketika itu. Sebagai visual storyteller, beliau akan menjadikan penonton di pawagam ‘aktif’ untuk membina empati sebagai pemain bersama melalui pemilihan shot-shot efektif kerana filem-filem ‘heavy’ ini sangat dalam dan kurang nilai hiburan yang mampu memaku penonton. Banyak bermain dengan “silent moment”, beliau sanggup memanjat pokok tinggi dan kawasan berbahaya bagi merakamkan keseksaan visual dan emosi di dalam filem-filem bertemakan perjuangan dan semangat bangsa seperti “Jasmin”, “Yassin” dan “Anak Sarawak”.

Kemampuan Johan mencipta visual sinematik untuk filem-filem berlatarbelakangkan sejarah juga amat baik kerana baginya, ilmu itu perlu digali dan dikaji bukan ditakuti. Mood penonton kepada kecelaruan, kegelapan dan ketakutan juga dibangunkan dengan motivasi untuk membangkitkan rasa dan warna terang sebagai simbolik kepada harapan dan perjuangan. Jika dikaji, ketajaman ‘deria’ hasil pemerhatian dan pengalaman beliau melihat ‘worldview’ ini dari kecil tentunya memudahkan beliau ‘faham’ apa yang pengarah mahukan biarpun tidak pernah berada di dalam ruang dimensi tersebut. Secara rumusannya, perjuangan beliau sebagai anak seni sejati dan sinematografer hebat melalui lebih 40 buah filem di dalam tempoh 50 tahun, tentunya mempunyai magis yang harus diangkat dan diteroka kerana sesungguhnya, hasil kerjanya seronok ‘bercerita’.

Terima kasih Johan Ibrahim, kerja senimu berbicara dan pasti menjadi kebanggaan sinema Malaysia, selamanya.
#TransformasiCitraKarya
FestivalFilemMalaysia
#FFM29

Kredit Foto: Indra Che Muda
Puan Mariam Ibrahim