Banting, 21 Mei – Program Kreativiti @ Komuniti atau K@K ini adalah satu usaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, KKMM dalam mencungkil bakat serta kreativiti masyarakat, khususnya di luar bandar. Objektif program adalah bagi mencungkil dan mengetengahkan bakat, meningkatkan kepakaran serta kreativiti pelajar/belia luar bandar. Selain itu, ia juga melahirkan generasi pelapis dalam industri kandungan kreatif dan seterusnya meningkatkan kesedaran masyarakat luar bandar mengenai hasil industri kandungan kreatif bagi memperluaskan pasaran tempatan dan antarabangsa.
Hasil program ini, secara tidak langsung ia dapat mewujudkan kerjasama antara kementerian dan institusi pendidikan di peringkat serantau bagi memajukan industri kandungan kreatif. Kementerian Komunikasi Multimedia Malaysia dengan kerjasama strategik Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Jabatan dan Agensi Kerajaan, Institut Kemahiran Belia Negara dan syarikat-syarikat telekomunikasi. Program ini diadakan di Institut Kemahiran Belia Negara Kuala Langat, Banting selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Mei 2017. Perasmian penutupan program ini telah disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian Pembangunan Kandungan Kementerian Komunikasi Multimedia Malaysia, En. Nik Kamaruzaman Nik Husin, pada 21 Mei 2017.
Dalam majlis ini juga, penyampaian Surat Penganugerahan kepada Penerima Dana Mikro berjumlah RM5,000 bagi setiap pemenang juga diadakan. Pemilihan ini adalah berdasarkan kreativiti dan idea yang diberikan oleh para peserta. Turut hadir, YBrs Zakiah Mat Jali @ Md Jelani, Pengarah Cawangan Teknikal dan Kualiti Latihan, Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, Kementerian Belia dan Sukan, Tuan Haji Megat Husain Megat Jaafar, Pengarah Institut Kemahiran Belia Negara, Kuala Langat, Ketua Penolong Pengarah Unit Komunikasi Korporat FINAS, En. Mohamad Syimir Alfi Zahari, rakan media, para pelajar dan jemputan. KKMM akan melaksanakan program K@K secara berterusan di beberapa negeri meliputi Zon Tengah, Utara, Barat, Sabah dan Sarawak. Pelbagai aktiviti yang diadakan seperti pameran, perkongsian ilmu, ujibakat lakonan dan banyak lagi.
#kreatifkomuniti
#negaraku