Hulu Kelang, 23 Januari – Majlis sidang media program ‘Salam Dunia Merentas Benua’ anjuran Artistic Films Production Sdn. Bhd. dengan sokongan Kementerian Komunikasi Multimedia Malaysia (KKMM) melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Radio Televisyen Malaysia (RTM), Lembaga Tabung Haji, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dan Isky Travel & Tours telah diadakan di Pawagam Mini P.Ramlee, FINAS petang tadi. Program berbentuk travelog ini akan memulakan sesi penggambaran pada 1 Mac 2018 dan akan mula ditayangkan pada 1 Ramadhan 1439 bersamaan dengan *17 Mei 2018.
Program yang memfokuskan pada catatan kembara dan perkongsian pengalaman musafir dalam kembara realiti, rohaniah dan spiritual meniti perjalanan menuju ke rumah Allah oleh Iwan Syahman ini akan disiarkan di slot siaran RTM sebanyak 26 episod. Antara negara yang akan dijelajahi dalam kembara ini adalah Thailand, Bangladesh, India, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turki, Albania, Greece, Jordan dan Mekah, Arab Saudi.
Penerbit travelog, Tuan Haji Kino Marzuki dan En. Hizam Idris amat berbesar hati dan teruja dengan program ini lebih-lebih lagi ia melibatkan perkongsian ilmu, penemuan sirah Islam, perkongsian musafir, rintangan, pengembaraan dan perbezaan aliran fahaman/mazhab Islam dan pelbagai pengetahuan musafir yang boleh dituntuni masyarakat.
Majlis telah diserikan dengan sesi tanda tangan kontrak antara Iwan Syahman dan Artistic Films Production Sdn. Bhd. sebagai tanda ikatan kerjasama dan ukhuwah yang terjalin bagi menjayakan program ini.
Turut hadir bersama ialah, YBhg. Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS, YAM Raja Seri Shuibah Sultan Idris, YBhg. Dato’ Sri Dr. Sheikh Nordin Sheikh Ahmad , Datin Sri Noniswara Baharudin, Ahli Jawatankuasa FDAM, para tetamu kehormat dan rakan-rakan media.