Bahagian Centre Of Excellence (COE) FINAS yang diterajui oleh Yang Mulia Raja Mohamad ‘Adhzim Raja Ahmad meneruskan agenda pengukuhan jenamanya dengan membuka satu lagi laluan dalam merealisasikan kecemerlangan bahagian ini. Bagi tujuan tersebut, seramai 12 staf COE FINAS yang diketuai oleh Encik Tan Kah Poh selaku Ketua Unit Arkib (Pendigitalan) dan Encik Ahmad Junaidi Reappai, Ketua Unit Mediatheque, menggalas hasrat dan tuntutan bahagian mengemaskini dan menambahbaik koleksi simpanan FINAS dengan mengadakan lawatan kerja pada 23 Jun 2016 ke Bahagian Pusat Sumber Penyiaran yang bertempat di Jabatan Penyiaran Malaysia, Angkasapuri. Kawasan liputan lawatan yang dibidik adalah Perpustakaan TV dan Perpustakaan Berita di Wisma TV serta Rakam Khanah P. Ramlee di Wisma Radio.
Tirai kunjungan dibuka dengan sesi perbincangan dan perkongsian ilmu bersama Ketua Penolong Pengarah Pusat Sumber Penyiaran, Puan Lee Seok Chu yang diiringi oleh 3 orang pegawai pustakawan di Tingkat 2, Bangunan International Broadcast Centre (IBC). RTM, sebagai sebuah badan penyiar Kerajaan yang telah berakar sekian lama, terus menongkah arus cabaran peralihan era teknologi analog kepada sepenuhnya digital terutamanya di dalam bidang penyiaran. Bagi menampung keperluan ini, kandungan dan bahan yang terdapat di RTM tidak terkecuali dari melalui proses migrasi secara berperingkat. Ini diperkasakan dengan pengurusan kandungan di peringkat pusat sumber yang efisyen, sistem dan storan aset digital berprestij, penyelarasan tenaga kerja dan pembangunan insan yang berkualiti serta menentu pasti nilai pasaran kandungan. Demikian adalah hasil dari penghayatan semasa sesi perbincangan dan tinjauan di lokasi-lokasi yang disebut di atas.
Rancangan COE FINAS yang komited dan efektif bakal menempa nama FINAS sebagai pusat rujukan dan pengumpulan kandungan kreatif yang tersohor di negara ini. Walau bagaimanapun, usaha murni ini memerlukan faktor-faktor berkaitan bagi memastikan kejayaannya. Di akhir lawatan ini berlangsung acara pertukaran cenderahati di antara kedua-dua belah pihak dan seterusnya bersurai pada jam 1.35 tengahari.