Kuala Lumpur, 09 MAC – Kuala Lumpur Film School (KLFS) dengan kerjasama Kelab Dokumentari Malaysia (DOKMA), Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah berkerjasama hari ini di dalam penganjuran program perkongsian ilmu dan pembangunan apresiasi sinema, Bicara Filem KLFS: Siri Apresiasi Dokumentari yang diterajui oleh pengarah dan karyawan filem, U-Wei Hj Saari di KLFS, Wangsa Melawati dengan menampilkan panel undangan iaitu Encik Azrain Arifin bagi mengupas secara ilmiah daripada perspektif pembikinan dan pengarahan, falsafah, cabaran, aspirasi dan impak kepada penonton terhadap filem dokumentari bertajuk ‘Baraka’ (1992) arahan Ron Fricke.
Baraka adalah filem dokumentari tanpa naratif atau suara. Ia meneroka tema melalui penyusunan peristiwa alam, kehidupan, aktiviti manusia dan fenomena teknologi yang dipaparkan di 24 negara di enam benua selama tempoh 14 bulan.
Lokasi yang diketengahkan termasuklah Gereja Holy Sepulcher di Baitulmuqaddis, kuil Ryoan di Kyoto, Lake Natron di Tanzania, pembakaran ladang minyak di Kuwait, jurang gunung berapi yang aktif, terminal kereta bawah tanah yang sibuk, sambutan suku kaum Maasai di Kenya, dan kecantikan Kaabah di Kota Mekah.
Turut hadir di Program Bicara Filem ini adalah para karyawan filem, penggiat industri, pensyarah dan pelajar perfileman serta khalayak filem yang turut berkongsi secara dua hala akan sudut pandang dan perspektif mereka terhadap filem ini.