Kuala Lumpur, 17 Mac- Kuala Lumpur Film School (KLFS) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) buat kali ketiga telah berganding bahu menganjurkan program apresiasi filem tempatan dan ASEAN melalui sesi Bicara Filem bersama pengarah filem, U-Wei HjSaari dan tetamu undangan, seorang penulis cerpen terkenal yang juga kini Penasihat II Grup Kaeyawan Luar Negara (GLKN), Puan Rebecca Ilham dengan tayangan dan apresiasi filem cereka dari negara Kemboja iaitu ‘The Last Reel’ (2014) arahan pengarah wanita Kulikar Sotho.
Program sinergi ilmu dan pembangunan intelektual ini telah meneroka aspirasi, falsafah, ideologi dan nilai di sebalik ‘kesakitan’, ‘tragedi’ dan hitam putih peperangan melalui lakonan hebat Dy Saveth, Rous Mony, Sothun Sok, Ma Rynet, Sokh Sithun dan Hun Sophy. Filem yang turut dijulang di festival filem antarabangsa dengan pelbagai anugerah di Udine Far East Film Festival, ASEAN International Film Festival, Tokyo International Film Festival dan Traverse City Film Festival selain turut mewakili Cambodia untuk Filem Bahasa Asing di Anugerah Akademi ke 88 ini berjaya meneroka dan dimensi feminisme dan kemanusiaan melalui perspektif Kulikar Sotho.
Turut hadir di program ini ialah YBhg. Tan Sri Johan Jaafar, En. Othman Hafsham, Presiden FDAM, para karyawan filem, ahli-ahli akademik dari institut pengajian tinggi awam dan swasta, para penggiat seni serta tetamu jemputan yang lain.