Petaling Jaya, 22 Mac – Seramai 75 orang penuntut dari Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim, Perak diiringi pensyarah yang diketuai Puan Marzita dan 8 orang pegawai dan pensyarah dari Universiti Multimedia yang diketuai oleh Encik Akmal Radzlan bin Mohd Rashid, Dekan Fakulti Seni Sinematik berpeluang menyertai Program Integrasi Ilmu dan Sinergi Industri di Kompleks FINAS Petaling Jaya pagi tadi. Melalui platform pembangunan komuniti industri, program seumpama ini memberi peluang kepada generasi muda membina jaringan dua hala bersama FINAS sebagai badan peneraju kemajuan industri filem Malaysia.
Selain lawatan berpandu ke Museum of Moving Image (MOMI) yang memaparkan khazanah perfileman, para pelawat juga turut berpeluang melihat dengan lebih dekat pameran peralatan perfileman.
Melalui sesi pembentangan korporat mengenai FINAS oleh Cik Atiqah Amira Mohd Noor, Penolong Pengarah Komunikasi Korporat, pembentangan penerbitan video dan dokumentasi oleh Encik Nik Ramzi Nik Hassan, Penolong Pengarah Produksi, Bahagian Kreatif & Produksi FINAS dan taklimat berkaitan MOMI yang disampaikan oleh En. Zakri Zakaria, Penolong Pengarah Mediatheque, para peserta telah diberi ruang untuk sesi soal jawab dan perkongsian interaktif.