Hulu Kelang, 4 Februari – YB Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah merasmikan Seniman Charity and Fun Run 2018 di Kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) awal pagi tadi. Program larian ini diadakan bagi menyemarakkan semangat hidup bermasyarakat dengan mengamalkan gaya hidup sihat di samping bertujuan mengumpul dana untuk disalurkan kepada ahli Seniman yang memerlukan.
Menurut YB Menteri, Kerajaan melalui pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) amat prihatin tentang kebajikan penggiat seni dan mengalu-alukan penganjuran program seumpama ini selain dilihat mampu untuk mengukuhkan sinergi di kalangan penggiat seni tanah air, komuniti industri dan masyarakat setempat. Menurut Presiden Seniman, Rozaidi Jamil (Zed Zaidi), program ini merupakan inisiatif terbaik bagi menjana sokongan dan kesatuan di dalam kebajikan para ahli persatuan selain menggalakkan keutuhan sinergi melalui aktiviti berbentuk kesukanan dan kemasyarakatan.
Program anjuran Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) yang bermula seawal 6.45pagi ini disertai hampir 2500 peserta turut menyediakan pelbagai acara sampingan seperti senamrobik zumba, gerai jualan produk tempatan dan cabutan bertuah. Turut sama hadir memeriahkan program ini ialah YB Dato’ Mohd Khusairi Abd Talib, Pengerusi FINAS, YBhg. Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS, YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan FINAS, para penggiat seni, rakan-rakan media dan masyarakat setempat.