Kuala Lumpur, 3 September – YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi dan Multimedia telah merasmikan Majlis Tayangan Filem Perdana ‘Rise: Ini Kalilah’ anjuran WebTVAsia yang diterajui oleh penerbitnya, Fred Chong di perkarangan pusat membeli belah dan GSC Cinemas, 1 Utama hari ini.
Filem berdurasi 100 minit ini bertemakan perpaduan dan berinspirasikan pilihan raya Malaysia ini merupakan produksi filem original pertama WebTVAsia dengan usahasama syarikat-syarikat produksi Prodigee Filem dan Filmmaker Studio. ‘Rise: Ini Kalilah’ yang menampilkan kisah 6 rakyat Malaysia yang mempunyai latar belakang berbeza, bersatu untuk menentukan masa depan negara dalam pilihan raya umum ini juga merupakan tanda perhargaan kepada YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia.
Diterajui barisan pengarah berkaliber seperti Saw Teong Hin (Pengarah Terbaik FFM18), Nik Amir Mustapha (Pengarah Terbaik FFM26) dan MS Prem Nath dengan dukungan barisan pelakon seperti Remy Ishak, Jack Tan, Sangeeta Krishnasamy dan Mira Filzah, Rise: Ini Kalilah yang bakal ditayangkan di seluruh Malaysia pada 13 September 2018 ini juga adalah bertepatan dengan semangat Hari Malaysia yang disambut pada 16 September nanti.
Tayangan perdana ini turut disokong dengan kehadiran para tetamu kehormat termasuklah YB Tuan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Belia dan Sukan, YB Puan Hannah Yeoh, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YBhg. Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS, penerbit dan pengarah filem, para pelakon ‘Rise: Ini Kalilah’, para penggiat seni, rakan-rakan media dan pencinta filem.