Hulu Kelang, 29 Ogos- Bertemakan ‘Transformasi Citra Karya’ sebagai perlambangan evolusi sinema Malaysia dari dahulu sehingga kini yang bergerak seiring dengan pembangunan kandungan dan karya bercitrakan identiti tempatan yang berjaya meneroka pasaran domestik dan antarabangsa, Festival Filem Malaysia ke 29 (FFM29) akan mengadakan program-program berteraskan modal insan dan sinergi ilmu untuk karyawan dan penggiat industri.

Di dalam ucapan pembukaan pada sidang media FFM29 di Pawagam Mini P.Ramlee, Pengerusi FINAS, YB Dato’ Mohd Khusairi Abdul Talib berkata, “menurut kajian data oleh FINAS, daripada tahun 1956 sehingga 2017, sebanyak hampir 200 buah filem cereka tempatan telah menembusi pasaran global melalui tayangan, penyertaan, pencalonan dan lebih 160 daripadanya berjaya meraih kemenangan di festival filem antarabangsa. Kerana filem adalah suatu medium pelaburan stategik jangka panjang, saya percaya nilai “citra karya” ini berjaya menembusi pasaran luar kerana kekuatan penonjolan identiti tempatan yang diadun dengan nilai-nilai universal dan kualiti pembikinan mampu mengembara ke seluruh pelusuk dunia” ujarnya sambil menggariskan kejayaan seperti filem seperti Kaki Bakar, Jogho, Layar Lara, Sayang Salmah, Bunohan, Puteri Gunung Ledang dan Mukhsin antaranya sebagai contoh.

FFM29 yang akan berlangsung daripada 14 September sehingga kemuncak Malam Anugerahnya pada 23 September akan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria jam 9.00 malam. Sebagai pengisian di bawah komponen pembangunan modal insan, pemasaran domestik dan antarabangsa, data dan rujukan industri, program-program seperti Imbas Kembali dan Layar Bintang Tan Sri Datuk Dr.Jins Shamsudin, Apresiasi Karyawan Muda Bersama Syamsul Yusof dan Ghaz Abu Bakar, Masterclass International American Society of Cinematographers, Bicara Sutradara Asia: Directors Talk, Connect Asia Symposium dan Karnival Pitching akan diadakan dengan kerjasama persatuan-persatuan perfileman terlibat.

Menurut Ketua Pengarah FINAS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk FFM29, Dato’ Fauzi Ayob, sehingga kini sebelum tarikh tutup pada 3 September ini, sebanyaj 42 penyertaan filem cereka telah diterima merangkumi filem-filem yang tidak pernah menyertai siri FFM sebelum ini dan mendapat sijil Lembaga Penapisan Filem sebelum 31 Julai 2017. Di antara penyertaan yang diterima adalah filem Hanyut, Interchange, Redha, Pekak, Rock Bro, Desolasi, Adiwiraku, Lebuhraya Ke Neraka, J Revolusi, You Mean The World To Me dan lain-lain lagi. Pada sidang media yang sama, taklimat program telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Produksi & Teknikal merangkap Pengarah FFM29, Tuan Haji Mohd Zulkifli Ab. Wahab. Turut hadir bersama para presiden persatuan perfileman, pihak media dan para karyawan industri. Sidang media pengumuman kategori, penaja, pengisian malam anugerah akan diadakan di dalam tempoh dua minggu.

@FFM29Official #FFM29

#TransformasiCitraKarya