Shah Alam, 17 Mei – Pusat Kajian dan Apresiasi Filem menerusi Program Tayangan dan Bual Santai Wayang@Budiman di Shah Alam meneroka perspektif ilmu dan pembangunan apresiasi sinema menerusi slot istimewa sempena Ramadan iaitu Slot Hikmah Hawa. Slot yang mengangkat semangat dalam diri wanita yang berinteraksi dengan cabaran dunia luar ini menampilkan filem arahan Dariush Mehrjui, ‘Leila’ (1996), sebuah melodrama kekeluargaan yang menyentuh konflik, pengorbanan dan perjuangan seorang isteri untuk kebahagiaan suaminya.
Program yang diterajui Dr. Norman Yusoff, Ketua Program Pasca Siswazah, Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FITA) UiTM ini telah dihadiri oleh pensyarah dan pelajar perfileman serta komuniti filem yang turut berkongsi pandangan dan perspektif mereka terhadap filem ini.