IMG-20210724-WA0019
#LensaFINAS

Pelaksanaan inisiatif Dana Kandungan Digital (DKD) merupakan usaha berterusan KKMM melalui FINAS dalam memastikan kelangsungan para penerbit, tenaga produksi dan penggiat industri kreatif yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19 sekaligus menggalakkan penghasilan, penerbitan dan penyebaran kandungan kreatif yang berdaya cipta tinggi serta mengoptimumkan potensi industri kandungan kreatif di pasaran domestik dan global.

KKMM dan FINAS juga komited memberi galakan kepada produksi tempatan untuk terus menghasilkan karya filem berunsur identiti kenegaraan dan budaya tempatan menerusi inisiatif pemerkasaan DKD melibatkan usaha pemurnian makna bagi kategori Filem Kenegaraan yang diklasifikasikan melalui dua tema baharu iaitu ‘Peristiwa’ yang mengisahkan perihal peristiwa penting dan tokoh ikonik dalam sejarah negara serta ‘Sastera’, adaptasi kreatif dari pelbagai karya sastera yang mengangkat nilai-nilai patriotisme dan cintakan tanah air.

Justeru KKMM dan FINAS berharap agar syarikat produksi tempatan dapat memanfaatkan usaha pemurnian makna bagi kategori Filem Kenegaraan ini untuk menghasilkan lebih banyak filem berunsur identiti kenegaraan dan budaya tempatan Malaysia yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa dalam memenuhi aspirasi Road to OSCARS.

#MenangBersama
#LindungDiriLindungSemua