Kuala Lumpur, 9 Februari – Kuala Lumpur Film School (KLFS) dengan kerjasama Kelab Dokumentari Malaysia (DOKMA), Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah berkerjasama hari ini di dalam penganjuran program perkongsian ilmu dan pembangunan apresiasi sinema, Bicara Filem KLFS: Siri Apresiasi Dokumentari yang diterajui oleh pengarah dan karyawan filem, U-Wei Hj Saari di KLFS, Wangsa Melawati dengan menampilkan panel undangan iaitu Encik Syed Zul Tojo bagi mengupas secara ilmiah daripada perspektif pembikinan dan pengarahan, falsafah, cabaran, aspirasi dan impak kepada penonton terhadap filem dokumentari bertajuk Salesman (1968) arahan Albert Maysles, David Maysles dan Charlotte Zwerin.
Meneroka pembikinan dokumentari berkonsepkan “Direct Cinema” yang bersifat ‘intimate’ dan ‘jujur’, ‘Salesman’ telah mencipta impak visual yang lebih ‘observational’ kepada penonton melalui penonjolan aspek realisme (direct experience) yang dirakam secara langsung di dalam usaha beberapa penjual jalanan meyakinkan komuniti membeli produk mereka. Turut hadir di Program Bicara Filem ini adalah para karyawan filem, penggiat industri, pensyarah dan pelajar perfileman serta khalayak filem yang turut berkongsi secara dua hala akan sudut pandang dan perspektif mereka terhadap filem ini.