Kuala Lumpur, 2 Ogos – Program #Negaraku : Seminar Media Sosial 2017 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) telah diadakan bertempat di Dewan Perdana Mastika, Institut Latihan DBKL, Jalan Yaacob Latif, Bandar Tun Razak, Cheras. Program yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (JKP-KKMM) termasuk FINAS, RTM dan Bernama ini bertujuan untuk mewujudkan generasi warga digital berminda kelas pertama yang mengamalkan etika penggunaan internet secara bijak dan memiliki kawalan kendiri yang mampan agar tidak terjebak dalam pelbagai benda negatif di media sosial selain dari memberi kefahaman dan kesedaran tentang isi-isu yang bersangkutan dengan ancaman media.
Program yang disertai penjawat awam dari pelbagai kementerian dan agensi, badan-badan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa serta mahasiswi dari IPTA dan IPTS ini dirasmikan oleh wakil rasmi Menteri Wilayah Persekutuan, YBhg. Dato’ Mohd Rafi bin Datuk Alli Hassan, Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua jabatan dan agensi yang terlibat dalam menjayakan program ini. Beliau turut menyentuh penggunaan internet membawa banyak manfaat kepada belia sekarang dalam mencapai maklumat serta informasi yang berguna melalui hujung jari.
Bersesuaian dengan tema ‘Memperkasa Penggunaan Positif Media Baharu’ program seharian ini telah diberi pengisian sebanyak tiga (3) sesi dimana sesi pertama mengupas tentang Impak dan Peranan Setiap Pihak yang telah disampaikan oleh Tuan Kamal Affandi Hashim, Penganalisis Jenayah dan bagi sesi kedua, YBhg. Ketua Pengarah Birotatanegara, Datuk Haji Ibrahim bin Saad telah dijemput untuk menyampaikan ceramah berkaitan Cabaran Media Baharu dalam Memupuk Jiwa Patriotik. Manakala sesi ketiga merupakan sesi forum yang dikendalikan oleh Pengurus Besar BERNAMA, YBhg. Datuk Zulkefli bin Salleh selaku Moderator bersama tiga org ahli panel iaitu YBhg. Dato’ Haji Ibrahim bin Abdul Rahman, KP Penerangan, YBhg. Datuk Razlan bin Muhamad Rafi, Pengarah Majlis Sukan WPKL, Encik Tun Faisal Ismail bin Aziz, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik JASA. Program seminar diakhiri dengan sesi soal jawab bersama moderator serta ahli panel dan juga cabutan bertuah.