Santubong, 31 Oktober– Pogram Siri Promosi Sijil Kemahiran Malaysia – Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT) Zon Sarawak anjuran Unit Latihan Industri, Bahagian Pembangunan Industri FINAS yang kini berlangsung di Auditorium FINAS Cawangan Sarawak telah dihadiri rakan-rakan strategik yg hadir termasuk Persatuan PERFILEMS, Persatuan PERISAI, Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM), PROFIMA dan UNIMAS.
Menurut Pengarah Pembangunan Industri FINAS, Tn.Hj. Abdul Khalid Maulod, ” FINAS sebagai Badan Peneraju Industri atau ‘Industry Lead Body’ (ILB) bagi bidang Industri Kreatif oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia ini telah berjaya menjalankan beberapa program pembangunan kemahiran dan berjaya menjalankan 200 Pensijilan SKM-PPT pada tahun 2016 dan pemerkasaan tenaga kreatif di Sarawak ini mampu mempertingkatkan profesionalisme dan kemahiran mereka “.
Berobjektifkan pemerkasaan dan pembangunan modal insan serta profesionalisme tenaga mahir di dalam industri kreatif, ia adalah manifestasi kepada pelan jangka panjang bagi menaiktaraf kualiti industri melalui pensijilan formal. Tambah Hj.Khalid lagi, inisiatif bersama FINAS dan Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia ini mampu menjana kepada proses pembangunan ilmu dan kemahiran penggiat industri melalui Sijil Kemahiran Malaysia-Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT) yang dikendalikan tenaga pakar industri di dalam bidang perfileman dengan kerjasama-kerjasama persatuan perfileman.