Kembara filem ‘Redha’ karya Tunku Mona Riza di festival filem antarabangsa diteruskan apabila terpilih mewakili Malaysia di Asean India Film Festival 2018 yang berlangsung di New Delhi, India dari 25-30 Mei 2018 dengan penyertaan dari 32 buah filem mewakili 11 buah negara. Dianjurkan dengan aspirasi ‘Friendship through Films’ oleh Kementerian Luar Negeri India dengan kerjasama ASEAN sempena perhubungan diplomatik 25 tahun negara India dan negara-negara ASEAN, Tunku Mona yang mewakili filem ‘Redha’ dan negara Malaysia turut dipilih sebagai panelis di dalam forum ‘Portrayal of Woman in ASEAN-Cinema’ dengan memberi penekanan kepada pembangunan nilai, aspirasi, peranan dan impak wanita di dalam sinema bercitrakan jatidiri ASEAN. Selain tayangan, apresiasi dan forum industri, para delegasi turut berpeluang membina jaringan kerjasama serantau dan pemasaran antarabangsa melalui program ‘India-ASEAN Film Market –Co-Production Opportunities’.
Terdahulu, Redha baru sahaja memenangi anugerah ke 11 di peringkat antarabangsa iaitu “Cultural Exchange Prize for a Feature Film” di 6th Seoul Guro International Kids Film Festival, Korea Selatan (Gukiff). Filem terbitan Current Pictures Sdn Bhd dengan lakonan hebat Nam Ron, June Lojong, Nadiya Nisaa, Remy Ishak, Adik Harith Hadziq, Izzy Reef, Ruminah Sidek, Susan Lankester dan ramai lagi ini berinspirasikan kisah sebenar mengenai perjuangan, pengorbanan dan kasih sayang ibu bapa dan keluarga di dalam membesarkan anak istimewa yang menghidap autisme.