Sungai Besar, 16 September – Bagi menghargai dan mengenang jasa dan sumbangan seniman dan pengarah hebat, Allahyarham Nordin Ahmad kepada dunia perfileman Melayu khususnya ketika zaman kegemilangan Malay Film Productions dan Cathay-Keris Film Productions, Kelab Filem dan Muzik Melayu Klasik dan rakan strategik Komuniti Rumah Kayu, dengan kerjasama Repair Gambar Lama dan Legend Network Ampas telah mengusahakan Rumah Nordin Ahmad yang telah disempurnakan perasmiannya hari ini oleh penerbit dan pelakon, Datuk Rosyam Nor.
Majlis Perasmian Rumah Nordin Ahmad yang berkonsepkan homestay ini telah diadakan di Komuniti Rumah Kayu @ My Desa Stay, Kampung Tebuk Haji Yusuf, Sungai Besar sebagai lokasi tarikan pelancong yang juga memberi ruang kepada pembangunan apresiasi sejarah industri filem Melayu klasik melalui eksplorasi informasi, pameran dan khazanah seniman dan karyawan hebat ini yang meninggalkan kesan dengan lakonan hebat di dalam filem ikonik seperti Semerah Padi, Hang Jebat, Chuchu Datuk Merah, Lanchang Kuning, Seri Mersing, Gurindam Jiwa dan banyak lagi.
Majlis perasmian ini telah turut dihadiri Tuan Haji Mohd Sidik, adik kandung Allahyarham Nordin Ahmad, keluarga Allahyarham Nordin Ahmad, Dato’ Freddie Fernandez, Presiden Karyawan, Puan Kismah Johar, Presiden Yayasan Artis Veteran Malaysia, Encik Hidir Ali Razali, Wakil Presiden Kelab Filem dan Muzik Melayu Klasik, para karyawan, penggiat industri, rakan-rakan media dan para tetamu jemputan.