Tanah, Api, Air dan Udara: Bahasa Alam dan Emosi “Hanyut”
Oleh : Ahmad Syazli Muhd Khiar
syazli@finas.my
Tanah emas berpasak cinta
Mengalir air mekar isinya
Bersatu udara melewat senja
Terbakar api mungkinkah di jiwa
Penulis menyifatkan pengalaman menonton Hanyut, sebuah karya U-Wei Bin Haji Saari lakonan berkesan Peter O’ Brien (Kasper Almayer), Sofia Jane (Mem), Diana Danielle (Nina), Adi Putra (Dain Maroola), Khalid Salleh (Orang Kaya Tinggi) yang diadaptasi daripada novel Almayer’s Folly karya Joseph Conrad disimpulkan seperti sebuah kembara mencari emas; perlu digali dan diselami. Seperti mana kisah epik kehidupan Kasper Almayer, seorang perantau dan pedagang Belanda di Tanah Melayu pada awal kurun ke 19 yang turut meneroka kisah Mem, isterinya dan anaknya Nina yang akhirnya bertemu cinta dengan Dain Maroola. Kembara filem ini juga menceritakan tentang definisi kehidupan dari perspektif U-Wei sendiri dengan meneroka kisah-kisah manusia yang dihubungkan dengan konflik dan cabaran mereka. Memahami filem-filem U-Wei sebelum ini seperti Kaki Bakar, Jogho dan Perempuan, Isteri &.., yang menyingkap kisah manusia-manusia di sebuah penempatan terpencil yang diteroka alamnya, pemikiranya, sosio-budayanya dan kenakalanya, Hanyut juga bermain di gelanggang yang sama. “Aku seorang pencerita dan bercerita tentang orang-orang kita” adalah statement penulis terhadap keseronokan di dalam keseriusan U-Wei mendefinisi, menterjemah dan mentafsir novel Almayer’s Folly dari dimensi sosio politik, ekonomi dan budayanya. Biarpun mengekalkan struktur naratif dan tema seperti yang diangkat Joseph Conrad, interpretasi baharu dilunaskan U-Wei dari aspek latar belakang, falsafah, semangat, sikap dan pemikirannya. Melihat kepada mis-en-scene filem Hanyut, ia masih bersifat “terpencil” biarpun spektrum budayanya lebih luas dan mencabar (cross-culture) kerana perlu di”wanitakan” U-Wei. Justeru, suka penulis untuk hubungkan semangat dan rahsia alam melalui elemen tanah, air, api dan udara yang disatukan dengan kembara naratif U-Wei melihat dunia kosmopolitan di abad ke 19 ; seakan menjadi lapisan “dara” yang belum diteroka dan menarik. Biarpun premisnya luas kerana semangat pertembungan budaya yang pelbagai, U-Wei menterjemah Hanyut lebih mendalam dari aspek emosi dan kemanusiaan tanpa bersifat menghukum dan kerana setiap manusia ada cerita dan rahsianya di sebuah tanahair seperti gunung emas yang sangat berharga.
- Tanah (Kehidupan)
“Dari tanah emas kau cipta, Dengan tanah kasih kau bina”
Tanah di dalam filem Hanyut ini melambangkan sebuah sistem kehidupan; ketamadunan, kebudayaan, kemasyarakatan dan kemanusiaan yang dihubungkan melalui naratif linear dan jelas. Tanah Melayu di pinggir sungai yang menjadi lanskap perdagangan yang menghubungkan manusia pelbagai latar belakang dan bangsa; peniaga Belanda, orang pribumi, pejuang Melayu, pedagang Arab, penjajah British dan Belanda, peniaga India dan China ini mewakili masyarakat-masyarakat bertamadun yang “dipertemukan”di Tanah Melayu dengan pembangunan naratif yang menarik. U-Wei gemar bercerita sesuatu subjek mengenai akar kehidupan; tanahair dan budayanya. Seperti mana Jogho, Kaki Bakar dan Perempuan, Isteri &…mengenai sebuah komuniti kecil luar bandar yang teguh jatidiri, budaya dan peradabanya namun penuh konflik manusia yang berbeza, Hanyut meneroka dunia universal yang lebih luas dan sangat kompleks di sebuah tanahair yang masyhur, megah dan mewah dengan hasil buminya (macro analysis) namun lemah batinnya dan jiwanya; terjemahan variasi emosi, motif dan konflik karakter-karakter yang dikupas dari perspektif mendalam U-Wei (micro analysis). Visual indah yang ‘menghanyutkan” penonton mengenai tanah ini boleh dianalisa melalui beberapa teras kehidupan dari aspek sosiologinya dari spektrum sistem individu dan kemasyarakatannya yang membina sebuah ekosistem dan interaksi bagi mencapai objektif dan motif samada secara langsung atau tidak langsung. Berobjektifkan “pencarian emas” yang disimbolkan sebagai Gunung Emas, filem ini menterjemah secara kontekstual dan visualnya akan sistem kehidupan sebuah masyarakat yang bertembung dimensinya secara objektif (wang, harta dan kedudukan) atau subjektif (kepercayaan, kebahagiaan, kenikmatan) yang didefinisikan melalui lakon layar U-Wei Hj Saari ini.
a) Budaya
Budaya yang diintepretasikan di dalam Hanyut sebagai “pembangunan operasi masyarakat dan individu melalui aspirasi nilai, norma, kepercayaan, amalan dan ilmu” membolehkan penonton melihat secara ketara akan pertembungan budaya asing dari kelompok yang berbeza yang menghubungkan mereka di sebuah tempat. U-Wei telah membina simbol-simbol material (rumah, jambatan, kapal) yang ketara sebagai representasi struktur sosial dan kedudukan mereka namun lebih besar daripada itu, Hanyut telah meneroka bagaimana pertembungan ideologi dan kepercayaan watak-watak seperti Kasper Almayer, Mem, Nina, Dain Maroola dan Orang Kaya Tinggi ini telah mewujudkan satu jaringan motif; manifest function (kesan langsung) dan latent function (kesan tersembunyi) yang kompleks. Contohnya, tanah dan rumah yang didiami Kasper secara struktur politik dan sosialnya untuk perlindungan, pertemuan, perkongsian dan permuafakatan namun menjadi landasan “tersembunyi” dengan agenda peribadi, komplot, rahsia dan pembinaan konflik. Lihat sahaja, nilai positif budaya yang ditonjolkan di antara Almayer dan Nina anaknya dari luaran; makan bersama, menghormati pertalian darah namun secara batinnya, Nina dan Almayer dipisahkan dengan pertembungan nilai dan kepercayaan yang akhirnya melahirkan kesan tersembunyi yang “dysfunctional”-kegagalan institusi keluarga biarpun lengkap materialnya. Berbeza pula apabila Nina bersama ibunya, Mem yang ditinggalkan bertahun-tahun, nilai dan ideologi mereka tentang kehidupan menyatukan perbezaan budaya dan material yang wujud pada mata kasar. Di dalam Hanyut, U-Wei tidak menonjolkan perbezaan budaya sebagai pencetus konflik, tetapi nilai dan kepercayaan setiap individu yang dibina daripada interaksi, latar belakang dan sistem sosialnya yang memberi kesan kepada pembentukan sifatnya dan masyarakat seperti yang diaspirasikan daripada Teori “Structural-Functionalist”.
b) Kuasa
Seperti Kaki Bakar dan Jogho, spektrum dan perlambangan kuasa adalah di antara kata kunci yang harus dikaji penonton di dalam naratif linear U-Wei yang begitu jelas, tersusun dan mudah. Kuasa yang ditakrifkan secara konteksual oleh U-Wei di dalam Hanyut adalah “pengaruh, siapa yang berpengaruh dan siapa yang terpengaruh” secara bijak dan mendalam. U-Wei memperdaya mata kasar penonton dengan simbol-simbol material yang terpacak seperti rumah, emas, barang dagangan untuk menunjukkan pengaruh dan kuasa individu, mudah sahaja kita yakin Almayer adalah penguasa dengan misinya ke Gunung Emas, kekayaannya, pekerjanya dan layanannya kepada Mem; namun Hanyut digerakkan dengan” kuasa’ alami manusia yang tidak dapat ditafsirkan dengan nilai material. Kuasa di tangan U-Wei tidak dijelmakan sebagai “menguasai” ataupun “mendominasi” di antara yang sang kuat dan lemah, tetapi Hanyut mentafsirkan kuasa sebagai “penyerahan” di dalam perhubungan manusia seperti juga perlambangan tanah; menyerap air. Jika dihubungkait enam dimensi kuasa seperti formula John French dan Bertram Raven iaitu kuasa memberi (reward), menghukum (coercive), mutlak (legitimate), merujuk (referent), kepakaran (expert) dan pengetahuan (informational), Hanyut mencabar fokus penonton untuk mencari nilai kekuasaan yang wujud di dalam pembangunan karakter.
Lakonan hebat Sofia Jane bagi penulis adalah watak paling berkuasa kerana mampu membuatkan insan di sekelilingnya “menyerah” secara halus, lihat sahaja bagaimana beliau mempertahankan jatidiri anaknya sebagai ibu (referent power) dengan mengatur strategi pertemuan (expert power) di antara Nina dan Dain Maroola di belakang Almayer sehinggakanlah Nina meninggalkan beliau dan Almayer untuk mengahwini Dain (legitimate power) di atas kuasa kasihnya sebagai seorang ibu yang sanggup berjuang demi Nina. Selain itu, lihat sahaja kuasa menghukum (coercive) yang dilunaskan Mem kepada Almayer atas penderitaan dan kesakitan emosi kehilangan anak dan dianggap lemah oleh Almayer di awal cerita. Seperti mana Zaleha di dalam Perempuan, Isteri &.., Minah (Jogho), kuasa wanita bukanlah pada darah dan airmatanya, tapi kebijaksanaanya di dalam menawan sistem yang dominan. Kuasa memberi (reward) ternyata telah menghanyutkan Almayer yang tumpas di sebuah bumi yang dianggap lubuk emas olehnya.
2. Udara (Komunikasi)
“Nafas kau hembus tidak terbilang, jiwa kau hunus meratap bimbang”
Udara di dalam filem “Hanyut” adalah perlambangan sistem komunikasi yang direncanakan U-Wei di dalam lakonlayar filem ini. Konsep “bernafas pada udara yang sama”, “dihembus pada angin yang sama” secara total menjelaskan akan “social determinism” yang menghubung dan membangunkan watak-watak di dalam Hanyut (socialization). Dari bahasa visualnya, sebagai tempat perdagangan yang terkemuka, pertemuan pelbagai bangsa, dimitoskan dengan gunung emas yang mengujakan, semua penduduk akan merasakan kesegaran udara kekayaan dan kemewahan yang ditonjolkan namun kita sedar akan keracunan udara dan kesesakan nafas seakan terpancar; Nina yang meronta kebahagiaan hakikinya, Mem yang meronta mencari erti kebebasan hakiki, Almayer yang meronta mencari kesempurnaan keluarga dan keluasan empayarnya, Dain yang meronta mencari kebebasan tanahairnya termasuklah Orang Kaya Tinggi yang meronta mencari peluang dan harta.
Justeru, Hanyut berjaya memberi dimensi yang sangat menarik mengenai bagaimana proses komunikasi dan interaksi ini mewujudkan impak kepada penonton kerana Almayer’s Folly tentunya terhad kepada nilai kesusasteraanya namun U-Wei kreatif di dalam mewujudkan kecantikan dan kekurangan kepada setiap watak yang ada kerana berlandaskan fitrah manusia yang tidak sempurna; ada hitam dan putih, ada kelebihan dan kekurangan, ada timbul dan tenggelam yang tentunya bergantung kepada motif dan objektif masing-masing. Menvisualkan sebuah tamadun dan sistem masyarakat Tanah Melayu pada awal kurun ke 19 dengan kewujudan kepelbagaian budaya mewakili pedagang, pribumi, pekerja, penjajah, “intercultural communication” dan “interpersonal communication” di antara mereka perlu diperhalusi bagi mendapatkan impak penontonan yang sewajarnya. Membaca karya-karya U-Wei sebelum ini, elemen “pertembungan budaya” wujud kerana tanah dan udara bumi ini bersifat sejagat, justeru penghijrahan dan perpindahan dari satu tempat ke tempat lain adalah simbolik kepada kehidupan baharu dan lebih baik.
Komunikasi antara budaya (intercultural communication) dapat diakses melalui beberapa watak utama yang begitu dominan; Alamayer-Mem, Almayer-Nina, Nina-Mem, Nina-Dain, Dain-Almayer, Dain-Almayer-Nina meneroka spektrum komunikasi budaya ini bagi mewujudkan impak dan halatuju perhubungan dan interaksi. Sebagai contoh, lihat sahaja dari aspek komunikasi “non verbal” yang diposisikan oleh U-Wei di dalam Hanyut, kesemua watak ini secara fizikalnya hidup di dalam ruang yang begitu dekat khususnya Almayer-Mem dan Nina-Almayer, namun komunikasi interpersonal mereka seakan tersekat yang mencacatkan kesefahaman di antara satu sama lain. Teori “Intercultural adaption” boleh diasimilasikan dengan komunikasi di antara Almayer-Mem dan Kasper-Raja Ibrahim-Orang Kaya Tinggi yang mana biarpun hidup di dalam satu budaya dominan di tanah Melayu, Almayer masih melihat dirinya sebagai “ethnocentric”-budaya, ideologi dan worldview beliau adalah lebih berhak diutamakan sehingga menjejaskan perhubungan dan interaksi dengan insan-insan sekeliling. Lihat sahaja bagaimana beliau mencipta attribusi tentang Mem, isterinya dianggap sebagai objek perhiasan yang tidak penting walaupun secara hakikinya; orang yang paling “dekat” dengan ruangnya dan paling mengetahui keinginan dan rahsia hidupnya. Namun yang demikian, U-Wei tidak menghukum dengan nilai “siapa benar dan siapa salah” kerana setiap karakter secara psikologinya bertindak di atas analisa situasi “situational causes”, mungkin sahaja Nina dihantar ke Singapura kerana Almayer sebagai ayah meletak masa depan anaknya dengan pendidikan barat supaya tidak menjadi wanita tipikal seperti yang dilihatnya di Tanah Melayu ketika itu (stereotyping) ataupun di atas latar belakang konflik keluarganya.
Nina biarpun menerima pendidikan di Singapura, pulang dengan kemampuan bernafas di udara “asing” yang lama ditinggalkanya untuk mencari jatidiri dan halatuju dirinya, Merujuk kepada Teori Standpoint berkaitan perkaitan pengaruh sistem sosial kepada individu, Nina membina kepercayaan dan keyakinan menjadi orang tanahair di mana beliau dilahirkan berbanding menjadi orang Belanda seperti bapanya dan akhirnya menurut cinta hatinya, Dain Maroola yang terbukti lebih bijak memahami keinginan wanita yang berbeza budaya dengannya. Nilai-nilai “kebersamaan” yang wujud di antara Nina dan Dain dari segi semangat, pemikiran dan tingkahlaku dibangunkan sebagai entiti “cross-culture” yang berjaya.
Seperti nafas yang dihembus dan dihela , Hanyut menterjemah konsep “meta-communication” di dalam komunikasi visual dan “non-verbal”nya yang kompleks. Interpretasi yang berbeza-beza di dalam memahami maksud juga mewujudkan impak pemahaman kerana kod, simbol, penunjuk di dalam perhubungan antara budaya mampu memperkukuhkan komunikasi verbal di antara mereka. Lihat sahaja bagaimana watak Orang Kaya Tinggi yang sungguh ekspresif tutur katanya menggunakan kemampuan membaca gerak laku setiap orang asing untuk menasihati rajanya dan menggunakan peluang tersebut untuk dirinya sendiri. Siapa sangka beliau membantu Dain untuk melarikan diri bersama Nina.
3. Api (Emosi)
“Rumah terbakar kecil apinya, Hati dibakar besar tangisnya”
Hanyut seakan sebuah paradox keganjilan kepada kecantikan tanah Melayu yang dipenuhi api-api yang membakar secara perlahan-lahan lantas memuncak pada ketikanya. Sifat api yang menyala dan membakar dapat dihayati melalui pembangunan naratif yang memberi nyawa dan struktur kepada emosi dan konflik di sebalik manusia-manusia yang tercabar dengan impian, kehendak dan nafsu. Secara nyata, “pembakaran” terbuka dengan api besar ketika Mem memberontak kehilangan anaknya dan ketika api yang membakar rumah Almayer kerana kecewa kehilangan anaknya, Nina kepada Dain berada di dimensi yang sangat menyakitkan biarpun api di kedua-dua situasi berbeza nyalaanya. Sebagai wanita tempatan yang budayanya “reserved” dan “introvert”, Mem telah menterjemahkan tindakan luar kawal dan penderitaan emosi yang tidak tertanggung akibat tindakan Almayer yang memisahkan Nina dengan dirinya. Sebagai seorang ibu, tindakan pemisahan ini mewujudkan “psychological trauma” sehingga beliau sanggup dihanyutkan arus sungai bagi mendapatkan anaknya dan impaknya, Mem menjadi emosional, pendendam dan sentiasa “tegas” ketika berkomunikasi dengan Alamayer. Mem di atas nilai kepercayaan terhadap Dain telah membuka ruang “kebebasan” sebagai ibu dengan melepaskan Nina ke tangan lelaki asing daripada hidup bersama tanpa cinta seperti mana yang dilaluinya bersama Almayer.
Berbeza dengan Almayer, beliau yang dilihat cekal dan dominan terhadap keluarga dan orang bawahan, menerima satu “physic attack” apabila kehilangan Nina secara terpaksa dan dilepaskan demi kasih sebagai seorang bapa kepada anaknya. Justeru, U-Wei menterjemah “api kebakaran” ini sebagai simbolik “kehilangan dan kebebasan” yang terbang bersama udara yang dihembus di Tanah Melayu. Dan hembusan asap dari pembakaran candu yang Almayer nikmati, kita mungkin percaya api penyesalannya bersifat sementara. Spektrum ikatan Almayer-Nina-Mem ini dihubungkan U-Wei dengan nilai sebenar “emas” iaitu kepercayaan sehinggalah ia menjadi konflik interpersonal yang berakhir dengan krisis kepercayaan.
“Tidak salah bermain api” juga manifestasi kepada pemikiran dan tingkahlaku Taminah (Rahayu Saraswati) orang suruhan yang memendam rasa cinta kepada Dain, Sayed Rashid (Bront Palarae) pedagang arab yang terpesona dengan Nina, Orang Kaya Tinggi (Khalid Salleh) yang sentiasa mengintai peluang untuk dirinya termasuklah penjajah British dan Belanda yang sentiasa bermain api di Tanah Melayu. U-Wei mengangkat konsep “peluang” dan “cabaran” kerana di Tanah Melayu, alamnya begitu “emas” dan berharga
4. Air (Penyucian)
“Biarlah hanyut, tidak kau lemas”
Air adalah elemen alam terakhir yang boleh dimetaforakan dengan konsep penyucian dan harapan. Seperti filem Kaki Bakar dan Perempuan, Isteri &…, air hujan yang menitis, sungai yang mengalir dan laut yang terbentang di dalam Hanyut membawa maksud sesuatu yang boleh dibersihkan dan dijernihkan. Terbentang luas sungai yang mengalir megah di persisiran Tanah Melayu yang membawa para pedagang dan pertemuan manusia dari serata dunia ibarat permulaan sebuah kehidupan baharu di dalam mencari motivasi kehidupanya. Mem melawan arus sungai ketika cuba menahan kapal anaknya adalah nadi perjuangan meredah cabaran ibarat tenaga yang mengalir tanpa sekatan. Ketika api (kemarahan) Mem dibawa ke dalam air (ketenangan), ia membentuk tenaga semangat luar biasa atas hak kebangkitan seorang ibu. Jelas di sini, U-Wei mengangkat Hanyut dari perspektif seorang wanita bernama Mem yang mengerakkan konflik, mencaturkan strategi dan membina sistem sosial biarpun digambarkan seseorang yang lemah dan “disturbed” di awalnya. Mem percaya akan air sungai untuk membantu Nina menjadi “survivor” sepertinya dengan melepaskan perahu yang membawakannya kepada Dain. Biarpun bergelut emosi kehilangan anaknya, inilah pengorbanan seorang ibu yang menahan airmatanya di depan seorang anak demi sebuah kebahagiaan hakiki.
Air di bumi bertuah ini juga yang melemaskan sifat kerakusan Almayer pada dunia emas dan materialnya apabila melepaskan “emas” sebenarnya, Nina kepada Dain di tepi laut. Sifat air yang jernih dan sentiasa mengalir menuju keluasan dunia adalah lambang cinta yang menjadi teras naratif filem Hanyut ini. Semua manusia yang menuju Tanah Melayu perlu mengembara merentasi sungai, laut dan pantainya membawa bersama cinta, harapan dan semangat yang membakar. Tumpasnya hati terbakar Almayer kepada titisan air mata anak tercinta ketika merayu keizinan untuk bersama Dain seakan simbolik kepada ketulusan dan kesucian seorang ayah yang tidak pernah terungkap dan ditunjukkan. Dari sudut taktikal, perjuangan para pahlawan dan pejuang seperti Dain juga dapat dikaji dengan kemahiran di dalam air sehingga mampu meletupkan kapal penjajah di sungai yang mencerminkan bagaimana “tenggelamnya” ego perampas harta pusaka bumi bertuah ke dasar sungai.
Pendek kata, penulis percaya Hanyut ibarat gunung emas yang dipuja, penuh cerita dan tinggi khazanahnya.
Datang Tuan ke Tanah Melayu
Berdagang emas beribu batu
Terjerat kasih jadinya rindu
Terbakar diri jadinya abu
**Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Korporat FINAS dan ini merupakan pandangan peribadi kecil penulis dan tidak mewakili organisasi.