Shah Alam, 8 Februari – Pusat Kajian dan Apresiasi Filem menerusi Program Tayangan dan Bual Santai Wayang@Budiman di Shah Alam sekali lagi meneroka perspektif ilmu dan pembangunan apresiasi sinema melalui karya penting garapan sutradara Hong Kong, Ann Hui menerusi filem ‘Boat People’ (1982). Filem yang berlensakan ‘realisme’ dan mis en scene pasca-perang di Vietnam dari naratif seorang wartawan foto Jepun ini membina impak ‘playability’ sinema baharu (new wave) kepada Ann Hui sebagai karyawan yang melawan arus pembikinan konvensional.
‘Boat People’ yang berspektrumkan pertembungan propaganda, ideologi dan fiksi berkaitan sejarah peperangan ini mencipta momen sebagai salah sebuah 103 filem berpengaruh di dalam sinema China dalam tempoh 100 tahun dan turut menawan juri apabila dicalonkan untuk 12 kategori di Festival Filem Hong Kong dan memenangi 5 buah anugerah termasuk Filem dan Pengarah Terbaik. Program yang diterajui Dr. Norman Yusoff, Ketua Program Pasca Siswazah, Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FITA) UiTM ini telah dihadiri oleh pensyarah dan pelajar perfileman serta komuniti filem yang turut berkongsi perspektif mereka terhadap filem ini.